Platform berkenaan memiliki kehadiran di tujuh buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura, Filipina dan Taiwan sejak Disember 2015.

Seiring pertumbuhan dalam segmen e-dagang, Shopee merekodkan prestasi memberangsangkan tahun lalu yang mana syarikat induknya, Sea Ltd. melaporkan capaian nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak AS$10.3 bilion (RM43.01 bilion), iaitu peningkatan 151 peratus berbanding AS$4.1 bilion (RM17.12 bilion) yang dicatatkan pada 2017.

Kumpulan itu turut menyaksikan peningkatan jumlah pesanan sebanyak 147 peratus kepada 604.5 juta tahun lalu berbanding 244.8 juta pesanan pada tahun sebelumnya.

Wartawan Kosmo! berkesempatan menemu bual Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Marianne Chuo baru-baru ini berhubung strategi jualan Shopee sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri selain jangkaan masa depan industri e-dagang di negara ini.

Kosmo!: Boleh kongsikan perkembangan perniagaan Shopee buat masa ini?

Marianne: Platform Shopee kini memiliki sejumlah 450,000 penjual tempatan.

Untuk rantau ini, kami menjangkakan perolehan untuk e-dagang bagi tahun 2019 antara AS$630 juta (RM2.63 bilion) hingga AS$660 juta (RM2.75 bilion), bersamaan dengan pertumbuhan 116.7 peratus hingga 127.0 peratus tahun ke tahun.

Bagaimana dengan kempen Aidilfitri Shopee tahun ini ia­itu Raya Dengan Shopee?

Ini merupakan tahun ketiga kami mengadakan kempen bertemakan Raya dan sehingga 6 Jun depan, pelanggan boleh menikmati tawaran hebat serta diskaun sehingga 80 peratus daripada 600 jenama dan 450,000 penjual di Shopee.

Pelanggan turut ditawarkan pelbagai faedah seperti pulangan balik tunai, Jualan Mengejut sehingga serendah RM1 dan permainan online menyeronokkan seperti Goyang Shopee serta Shopee Quiz.

Apa langkah yang telah diambil untuk menghadapi kemungkinan masalah ke­sesakan dalam talian ketika aktiviti promosi utama seperti ini?

Kami menjangkakan kempen Raya Shopee kali ini adalah tiga kali lebih besar berbanding tahun lalu.

Untuk mengatasi masalah ke­sesakan, kami telah meningkatkan keupayaan jalur lebar. Kami juga berhubung rapat dengan pembekal perkhidmatan gerbang pembayaran rasmi kami, iPay88 dan akan memaklumkan sebarang ramalan peningkatan jumlah pengunjung supaya mereka dapat bersedia dengan kemasukan bilangan transaksi yang besar secara tiba-tiba.

Dengan cara ini, kami dapat mengelak sebarang risiko ke­sesakan untuk memastikan pengguna memperoleh pengalaman membeli-belah yang lancar dan menyeronokkan.

Apa sasaran pertumbuhan bilangan penjual tempatan Shopee tahun ini?

Terdapat hampir sejuta bila­ngan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaftar di negara ini.

Meskipun tidak meletakkan sebarang sasaran yang spesifik, kami mengalu-alukan semua PKS supaya mendaftar untuk menjadi penjual di Shopee.

Kami bekerjasama rapat de­ngan agensi kerajaan berkaitan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia untuk tujuan ini. Shopee komited untuk membimbing usahawan tempatan dalam perjalanan online mereka supaya tidak ketinggalan dalam dunia digital masa kini.

Bagaimana Shopee memastikan transaksi antara penjual dan pembeli selamat?

Pengguna kami dilindungi jaminan Shopee Guarantee ketika membeli-belah di Shopee.

Pembayaran akan diberikan kepada penjual hanya setelah pembeli mengesahkan mereka telah menerima pesanan.

Sekiranya pembeli tidak berpuas hati dengan produk yang diterima, mereka boleh memohon pulangan balik daripada kru perkhidmatan pelanggan kami.

Apa jangkaan Shopee berhubung industri e-dagang di Malaysia menuju ke hadapan?

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, segmen e-dagang merekodkan pertumbuhan tahunan sebanyak 12.5 peratus untuk tempoh tujuh tahun kebelakangan ini, daripada nilai RM37.7 bilion pada 2010 kepada RM85.5 bilion pada 2017.

Kerajaan menyasarkan sumbangan e-dagang kepada keluaran Dalam Negara Kasar akan mencecah RM211 bilion menjelang 2020, jadi masih banyak perkara yang perlu dilakukan.

Bagaimanapun, dengan kadar penggunaan e-dagang yang tinggi selain infrastruktur yang baik dalam soal pembayaran dan logistik, kita tidak mempersoalkan sasaran yang ditetapkan kerana industri e-dagang di sini sangat kukuh.

Data terbaharu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendedahkan hampir 50 peratus daripada populasi di Malaysia membeli-belah secara online.

Malaysia juga memiliki kadar penggunaan yang lebih tinggi dalam e-dagang (90 peratus), perdagangan mudah alih (87 peratus) dan perdagangan sosial (86 peratus) berbanding dengan pasaran lain di Asia Pasifik.