Pengerusinya, Datuk Mat Hassan Esa berkata, projek resort mewah atas air dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar (cabang pelaburan kerajaan Negeri Sembilan) itu dijangka dirasmikan pembukaannya pada tahun 2024.

"Projek ini akan dilancarkan pada penghujung tahun 2020 dan saya yakin apabila projek ini siap kita dapat menarik lebih 400,000 pelancong dari dalam dan luar negara ke Port Dickson setiap tahun.

"Ia akan turut membantu perniagaan-perniagaan lain dalam daerah ini," katanya semasa berucap pada Majlis Pengumuman Rasmi Lexis Hibiscus 2 di sini malam tadi.

Turut berlangsung Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama yang disaksikan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lexis Hibiscus 2
Aminuddin (tiga dari kiri) ditemani Anwar (tengah), Mat Hassan (kiri), Tak Fatt (tiga dari kanan) dan Presiden Lexis Hotel Group, Mandy Chew Siok Cheng (kanan) merasmikan projek Lexis Hibiscus 2 di Port Dickson malam tadi. Foto oleh AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

 

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengarah Urusan Kuala Lumpur Metro Group, Datuk Low Tak Fatt.

Mat Hassan Esa berkata, resort seluas kira-kira 32 hektar itu akan mempunyai 760 vila terdiri daripada 582 vila atas air dan 178 vila dalam bangunan atas darat dengan setiap vila mempunyai kolam renang peribadi.

Menurut beliau, saiz purata setiap unit vila 800 hingga 1,000 kaki persegi dan Lexis Hibiscus 2 akan turut dilengkapi kemudahan dan infrastruktur yang bakal menarik minat pelancong.

Jelas beliau, ia termasuk akuarium tenggelam yang akan dilengkapi dengan restoran dan air pancut berirama.
 
Sementara itu, Aminuddin berkata, pemaju Lexis Hibiscus 2 memperuntukkan pampasan sebanyak RM12 juta kepada 42 keluarga nelayan berhampiran yang dijangka terjejas apabila projek itu bermula.

“Pampasan akan dibayar RM1,000 sebulan kepada setiap keluarga dalam tempoh lima tahun dan jika projek itu mengambil masa lebih lama, bayaran akan diteruskan sehingga projek itu siap," katanya. - K! ONLINE