Pengurus kanan, Komunikasi Koporat My HSR Corporation (MY-HSR Corp), Tonny Yep (gambar) berkata, projek bernilai RM70 billion dengan jajaran keseluruhan 328 kilometer itu akan memberi kesan positif dalam merangsang pembangunan kemahiran dan bakat baharu yang akan menjana peluang mampan untuk generasi akan datang.

“Kerja-kerja pembinaan bakal dilaksanakan bermula tahun depan hingga tahun 2026 dan ini akan membawa kepada pembangunan pesat dan maju di negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sesi penerangan bersama media di sini semalam.

Tony menjelaskan, Melaka akan mempunyai 57 kilometer jajaran membabitkan keseluruhan 328 km jajaran yang terletak berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh di Mukim Durian Tunggal dan akan mengurangkan masa perjalanan penumpang dari Bandar Malaysia ke Melaka.

Tambah beliau, bagi memberi maklumat tentang projek tersebut kepada orang ramai, pihaknya menyediakan tujuh pusat pameran pemeriksaan awam tetap dan sementara yang dibuka di kawasan terpilih di sepanjang jajaran HSR dan mula dibuka pada 1 November lalu hingga 31 Januari 2018.

“Pemeran ini membolehkan masyarakat memperoleh maklumat mengenai projek, jajaran HSR yang dirancang, lokasi stesen di Malaysia, susun atur stesen, rancangan pengambilan tanah, data teknikal kereta api dan Program Pembangunan Sosioekonomi,” katanya.

Beliau berkata daripada kajian yang dilakukan oleh syarikatnya stesen HSR Durian Tunggal menjadi pilihan utama rakyat negara ini.

“Stesen Durian Tunggal mempunyai keunikanya sendiri apabila dibina berdasarkan konsep Kapal layar sesuai dengan negeri Melaka sebagai sebuah bandar ne­geri yang terkenal dengan sejarah, budaya serta menjadi tumpuan pelancong,” katanya kepada pemberita ketika sesi penerangan bersama media di sini hari ini.

Tujuh stesen yang akan dibina iaitu stesen Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri, bakal menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura.