Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, ia terdiri daripada projek menara pejabat di Jalan Bangsar dan Jalan Conlay di sini serta sebuah hospital di Sungai Penchala, Selangor manakala sebuah pusat beli-belah di Terengganu.

“Kesemua projek ini sedang dibangunkan yang mana projek hospital KPJ yang berkapasiti 300 katil di Sungai Penchala dijangka siap menjelang tahun depan.

“Kesemua aset ini akan disuntik ke dalam dana kami setelah ia siap dan matang dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pengumuman kempen cabutan hadiah terbaharunya, Simpan, Labur dan Menang di sini semalam.

Sementara itu, Kamalul Arifin menjelaskan, ketika ini, PHB memiliki sebanyak empat bilion unit aset dengan nilai RM4 bilion.

“Kesemua aset kami terdiri daripada bangunan komersial, hospital, pejabat dan kemudahan gudang di seluruh negara.

“Syarikat juga sedang menilai beberapa lagi aset hartanah yang dilihat berpotensi untuk diambil alih pada masa akan datang,” ujarnya.

Mengulas mengenai kempen Simpan, Labur dan Menang, PHB menawarkan cabutan hadiah dengan tawaran berupa unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bernilai sehingga RM400,000 untuk pemenang.

Pemegang unit AHB yang memiliki baki minimum 1,000 unit dalam akaun mereka untuk tempoh enam bulan, bermula 1 Oktober 2018 hingga 31 Mac 2019 akan disenaraikan secara automatik sebagai peserta untuk satu cabutan rawak yang akan dilakukan.

Cabutan hadiah bakal berlangsung pada 31 Mac 2019.