Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet berkata, 70 peratus daripada unit projek itu telah diambil dalam masa 10 minit selepas pembukaan galeri jualannya dengan para pembeli yang beratur seawal 4.30am pagi. 

Katanya, Iconic Point direka untuk mengulangi kejayaan projek Icon City asli malah, dijangka menjadi salah satu pusat komersial utama dan mercu tanda di kawasan pembandaran Simpang Ampat, Pulau Pinang. 

“Projek pembangunan bebas itu yang dijangka siap menjelang suku pertama tahun 2022 akan meninggalkan kesan besar dalam landskap makanan dan hiburan di tanah besar Penang.

“Ini adalah kali pertama Simpang Ampat mendapat manfaat daripada projek pembangunan seperti kedai pejabat berkembar dan terpisah dengan lif khusus individu malah, harga yang kami tawarkan hampir sama dengan projek Icon City ketika ia mula dilancarkan pada tujuh tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Iconic Point melibatkan kawasan seluas 8.7 ekar itu akan menampilkan 49 unit kedai pejabat tiga tingkat direka khusus untuk menawarkan keselesaan serta kecekapan melalui rekaan khusus  beserta kemudahan lif bagi setiap unit.

Selain itu, terdapat juga tiga unit komersial untuk perniagaan makanan dan minuman yang dilengkapi pandu lalu beserta sebuah hotel butik setinggi empat tingkat yang akan turut dibangunkan di kawasan tersebut.

Tambah Kean Tet, projek hartanah tersebut juga terletak di lokasi strategik iaitu berdekatan dengan simpang Jalan Permatang Tinggi, Jalan Bukit Tambun dan Lebuhraya Utara Selatan yang bakal menyaksikan kunjungan ribuan pengguna jalan raya melalui kawasan berkenaan setiap hari. 

“Selain itu, projek berkenaan turut terletak berdekatan dengan stesyen KTM dan juga projek kediaman yang akan menjadikan Iconic Point sebagai satu peluang bagi pelabur yang sedang mencari lokasi untuk membangunkan empayar perniagaannya, pusat pelaburan atau pulangan pelaburan yang menguntungkan pada masa depan,” katanya.

Untuk keterangan lebih lanjut mengenai  Iconic Point, boleh melawat ke laman web https://www.iconicworldwide.com.my/ atau melalui laman sosial Facebook di https://www.facebook.com/IconicDev/. - K! ONLINE