Republik Chad yang terletak di Afrika Tengah tersenarai di tempat keempat dalam carta negara termiskin di dunia.

Tanah di negara mundur itu kurang subur selain tidak mempunyai sempadan laut sehinggakan ia digelar sebagai Jantung Mati Afrika.

Lebih 80 peratus penduduknya beragama Islam.

Program tersebut dianjurkan oleh Ibadahqurban.org yang didaftarkan di bawah Pertubuhan Kebajikan Atta’awun Selangor dengan kerjasama Pusat Tahfiz, Darul Quran Bukit Badong, Ijok, Selangor.

Pengarah Jawatankuasa program tersebut, Aiman Sufyan Aezman atau lebih dikenali sebagai Dai Aiman berkata, pihaknya mengunjurkan penganjuran kali ini bakal melibatkan sehingga 500 ekor lembu.

Katanya, sambutan penyumbang begitu menggalakkan.

“Peningkatan penyertaan sumbangan akan dapat dilihat menjelang hari-hari terakhir sebelum sambutan Hari Raya Haji. Buat masa ini, separuh daripada bi­langan lembu yang disasarkan telah dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan mengenai program ibadah korban di Chad di sini baru-baru ini.

Ibadahqurban.org hanya memberi tumpuan terhadap usaha menjayakan program bantuan kemanusiaan di negara termiskin seperti di Chad, Kem Pelarian Rohingya Cox’s Bazar, Bangladesh dan beberapa negara lain melalui program korban dan akikah.

Aiman menerangkan, untuk program tersebut, pihaknya menawarkan satu bahagian pada harga RM300 sahaja atau RM2,100 bagi seekor lembu.

Program tersebut bakal memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 keluarga dari 35 buah kawasan di negara tersebut yang mana kebanyakan mereka sangat jarang atau mungkin tidak pernah makan daging lembu seumur hidup mereka.

“Daging korban tersebut akan diagihkan secara berasingan kepada beberapa buah wilayah yang melibatkan pusat pendidikan Islam, pusat tahfiz, penempatan pelarian, pusat kebajikan balu-balu anggota tentera, pusat jagaan anak yatim, pusat pembangunan saudara baharu dan juga penduduk setempat,” jelasnya.

Mereka yang berminat untuk menyertai program tersebut, boleh menghubungi Aiman di talian 013-997 6680, 011-3323 4198, atau Facebook ibadahqurban.org.