Pengurus Bahagian Antarabangsanya, Mohammad Shukur Sugumaran berkata, pengimport India menunjukkan minat tinggi untuk mendapatkan produk dari Malaysia berikutan kesedaran yang semakin mening­kat untuk mencari produk yang bersih, organik, sihat dan selamat terutamanya dalam kalangan ge­nerasi muda.

“Permintaan adalah amat besar di India sekarang, ia bukan hanya datang daripada orang Islam tetapi juga daripada bukan Islam,” katanya kepada pemberita di luar acara Global Halal India Expo 2019 di sini baru-baru ini.

Perangkaan daripada HDC Halal Datawarehouse System menunjukkan eksport halal ke India meningkat 12 peratus kepada RM1.59 bilion pada 2018 daripada RM1.43 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, eksport produk kosmetik dan penja­gaan peribadi halal susut kepada RM166.0 juta pada 2018 daripada RM172.93 juta pada 2017.

Selain daripada produk kosmetik dan penjagaan peribadi, Mohammad Shukur, yang bertemu beberapa pengimport India sempena ekspo tiga hari itu di sini mendedahkan bahawa ­fesyen sederhana bercirikan Islam juga merupakan produk yang semakin mendapat perhatian pengimport.

“Saya dimaklumkan bahawa semakin ramai generasi muda Muslim berminat untuk berpakaian mengikut cara Islam, iaitu bersederhana, tetapi dalam masa yang sama masih kekal moden,” katanya.

Jelasnya, makanan dan minuman halal kekal sebagai produk pilihan dalam pasaran India, meskipun dikenakan peraturan pelabelan ketat oleh badan ka­wal selia makanan negara tersebut, Food Safety and Standards Authority of India (FSSAI).

Sementara itu, dalam kenya­taan berasingan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffien Sahari berkata, ketika ini, terdapat kira-kira 180 juta penduduk Islam di India, kedua terbesar selepas Indonesia.

“Ditambah dengan lonjakan industri e-dagang di negara ini, syarikat Malaysia perlu merebut peluang untuk memanfaatkan negara yang memiliki antara jumlah penduduk paling padat di dunia ini,” katanya. – Bernama