Presiden Agro Malaysia, Datuk Seri Gnanaraja berkata, keprihatinan Jepun terhadap produk makanan halal bukan semata-mata atas faktor keagamaan tetapi juga kebersihan yang sinonim de­ngan gaya hidup rakyat di sana.

“Jepun memandang serius kepentingan produk halal dan telah memeterai memorandum kerjasama berkaitan halal pada 26 November lalu yang turut mencetuskan pe­nganjuran Ekspo Halal Malaysia (MHE) 2019.

“Agro Malaysia komited untuk memastikan para usahawan tempatan khususnya bumiputera Islam mengambil peluang menembusi pasaran halal di Jepun secara besar-besaran,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, permintaan terhadap makanan halal diramalkan semakin tinggi di Jepun sempena Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari 24 Julai hingga 9 Ogos yang dijangka menyaksikan kema­sukan 40 juta pelancong asing dengan sebahagian besarnya Muslim.

Malaysia mengeksport makanan siap diproses bernilai AS$1.03 bilion (RM4 bilion) ke negara Asia Timur pada 2017 dengan Jepun merupakan destinasi kedua terbesar de­ngan nilai AS$249 juta (RM972 juta).

Destinasi utama eksport ini ialah China yang bernilai AS$391.6 juta (RM1.56 bilion) diikuti Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan.