Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, produk keluaran daripada program tersebut yang melibatkan 13 buah kampung di seluruh Malaysia telah mencapai jualan sehingga RM11 juta.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, program terbabit merupakan kerjasama kementeriannya bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Malaysia (FAMA).

"Produk keluaran desa berkenan telah dibawa ke International Halal 2017 di Dewan Ekspo Changi di sini dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

"Antara produk desa tersebut iaitu pati durian Belanda, kordial limau nipis, kuih buah rotan, kek lapis, bonda dodol, amplang dan banyak lagi," katanya di sini hari ini.

Menurut Ismail, program My Kampung My Future ketika ini membabitkan sebuah kampung dari setiap negeri seperti Batu Pahat, Johor; Tawau, Sabah; Kemaman, Terengganu dan lain-lain.

"Matlamat program berkenaan adalah bagi menggalakkan aktiviti ekonomi di kampung selain mengurangkan masyarakat desa terutamanya golongan belia berhijrah ke bandar," ujarnya.

Sehubungan itu, tambahnya, kementerian kini dalam kajian untuk mengembangkan program tersebut dengan fokus kepada golongan belia di desa untuk terlibat dalam industri kecil dan sederhana.

Sementara itu, salah seorang peserta program berkenaan dari Kemamam, Terangganu, Tengku Nurlisa Munirah Mohd. Shamshir berkata, pihaknya teruja apabila produk keluaran mereka mendapat sambutan pada ekspo tersebut.

"Ini kali pertama kami sertai ekspo ini dan sambutan amat menggalakkan daripada penduduk Singapura yang menerima baik produk kami menerusi label MyUmie" ujarnya.

Tambahnya,  beliau membawa sebanyak 11 produk keluaran mereka yang terdiri daripada produk sejuk beku seperti karipap ikak, roti canai, madu kelulut, pati durian Belanda dan banyak lagi.

International Halal 2017 di Changi Expo Hall, Singapura telah bermula pada 23 November lalu dan berakhir pada Ahad. - K! ONLINE