Presiden Persatuan Pembekal Perodua (P2SA), Musa Zahidin Ahmad Zaidee berkata, pihaknya berbesar hati dengan prestasi pertumbuhan jualan syarikat sebanyak 9.5 peratus kepada 82,700 unit dalam tempoh empat bulan pertama 2019.

“Berdasarkan anggaran kami, industri berkembang kepada 193,200 unit untuk empat bulan pertama tahun ini berban­ding 182,200 unit untuk tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 11,000 unit.

“Dalam tempoh sama, jualan Perodua meningkat sebanyak 7,300 unit. Ini bermaksud sejumlah besar pertumbuhan industri datang daripada Pe­rodua,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Menurut Musa, Perodua turut komited terhadap perkembangan ekosistem automotif domestik kerana kesemua modelnya mempunyai lebih daripada 90 peratus kandungan tempatan secara purata selain turut memberi jaminan pembelian komponen bernilai RM5.4 bilion tahun ini.

Tambahnya, Perodua telah melaksanakan inisiatif untuk melabur dalam pembe­lian acuan dan peralatan sejak pengeluaran Axia pada tahun 2014 bagi kegunaan pembekal dalam penghasilan komponen.

“Kami berterima kasih kepada Perodua kerana mereka tidak pernah mengenakan caj untuk acuan dan peralatan tersebut,” jelas beliau.