Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, pihak­nya positif untuk mencapai sasaran tersebut memandangkan syarikat sedang melaksanakan langkah pengoptimuman kos.

Menurut beliau, untuk separuh pertama tahun 2019 (1H19), Prasarana berjaya mengurangkan kos sebanyak RM248.70 juta dengan lebihan 10 peratus berbanding sasaran sebanyak RM208.40 juta seperti yang ditetapkan sebelumnya.

“Sasaran pendapatan itu juga akan disokong melalui jumlah kenaikan penumpang bagi setiap perkhidmatan pengangkutan yang ditawarkan Prasarana iaitu Rapid Rail, Rapid Bus dan Rapid Ferry.

“Dari segi penumpang untuk 1H19, Rapid Ferry menunjukkan pertambahan paling memberangsangkan dengan peningkatan 233 peratus iaitu 700,000 berbanding 200,000 untuk tempoh sama tahun sebelumnya.

“Rapid Rail mencatatkan pertambahan 10 peratus iaitu daripada 102.5 juta kepada 112.7 juta. Bagaimanapun, Rapid Bus mencatatkan penurunan 10 peratus iaitu daripada 90.8 juta kepada 81.3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung prestasi Prasarana bagi 1H19 di sini semalam.

Tambah Mohamed Hazlan, berdasarkan peningkatan jumlah penumpang dan pengoptimuman kos yang melebihi sasaran, Prasarana yakin akan merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan yang positif pada tahun 2021.

Dalam pada itu, beliau berkata, Prasarana juga meninjau secara serius dalam Pembangunan Transit (TOD) yang diyakini mampu memberikan sumba­ngan ketara kepada pendapatan bukan berkaitan tiket.

“Sebanyak 20 peratus pendapatan Prasarana ketika ini disumbangkan oleh jualan tiket, sementara 80 peratus lagi daripada pendapatan bukan berasaskan tiket,” ujarnya.

Difahamkan, Prasarana berhasrat membangunkan 10 TOD pada masa depan, empat daripada sedang dalam peranca­ngan iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) Latitude 8-Dang Wangi, Stesen LRT Ara Damansara, Stesen LRT IOI Puchong Jaya dan Stesen Monorel Brickfields/Tun Sambanthan.