Pemasangan Ninja Box itu dijangka selesai pada suku kedua tahun ini, menjadikannya rangkaian lokar bungkusan terbesar di Lembah Klang untuk memberi kemudahan serta pilihan selamat bagi jutaan pengguna LRT mengambil atau menye­rahkan bungkusan mereka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, kolaborasi berkenaan merupakan usaha meningkatkan kemudahan bagi pengguna tren dalam menguruskan keperluan harian mereka.

“Kami berharap pengguna akan melihat stesen LRT lebih daripada sekadar tempat yang dilalui. Kami mahu ruang-ruang di sana memiliki kemudahan yang boleh memperkaya kehidupan pengguna tren, daripada penyediaan khidmat pengambilan dan penghantaran dengan Ninja Box hinggalah penyediaan kedai-kedai serbaneka.

“Ia juga akan menarik lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, terutamanya yang disediakan oleh Prasarana,” kata­nya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan secara bersama oleh Prasarana dan Ninja Van di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Negara, Ninja Van Malaysia, Adzim Halim berkata, perkongsian strategik itu menawarkan pengguna tren kemudahan dalam penghantaran dan penerimaan bungkusan.

“Kami teruja untuk menyediakan penghantaran keesokan hari dengan pelancaran rangkai­an lokar bungkusan Ninja Box ini,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2014, Ninja Van telah menjadi pemain utama di dalam landskap e-dagang dan merupakan syarikat logistik paling pesat memba­ngun di Asia Tenggara.