Ketua Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata, pihaknya kini mencari syarikat dan individu yang mampu mencipta teknologi robotik tempatan yang praktikal dan boleh menyelesaikan masalah industri terutamanya dalam penggunaan sumber manusia untuk mengurangkan kos.

“Kami juga ingin membantu membangunkan sistem robotik bagi syarikat yang masih pada tahap 2.0, iaitu usahawan yang masih lagi bergantung kepada sumber manusia pekerja asing.

“Ia mungkin boleh dinaik taraf supaya mencapai tahap 3.0 iaitu tahap automasi sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Pecutan Robotik MTDC (MTDC RAP-MTDC Robotics Accelerator Boot Camp) di TIC UPM-MTDC semalam.

Norhalim menjelaskan, penekanan akan diberi kepada ciptaan robotik yang berasaskan persekitaran tempatan.

“Teknologi yang diperlukan tidaklah terlalu canggih dan mahal hingga tidak mampu dimiliki oleh pengusaha dan paling utama ia teknologi tempatan yang boleh diselenggara dan dibaiki di dalam negara, sekali gus menjimatkan kos,” jelasnya.

Selain itu, MTDC juga melihat potensi robotik dalam bidang pendidikan yang mampu dimiliki pada harga RM100 hingga RM200.

“Kami telah memiliki syarikat tempatan bim­bingan MTDC yang mengeluarkan robot untuk pendidikan dan berjaya di pasarkan ke seluruh dunia.

“Tetapi kami mahu lebih ramai murid di sini dapat akses kepada pendidikan robotik pada harga yang jauh lebih murah seperti penggunaan raspberry pi di United Kingdom.

“Ia satu potensi besar kerana jika dapat dipasarkan di dalam negara, ia juga boleh dilebarkan sehingga ke rantau Asia Tenggara,” katanya.

Program MTDC RAP yang bertujuan memperkasakan inkubasi dan memupuk syarikat ber­asaskan teknologi, menyediakan khidmat nasihat kepada syarikat serta membantu mereka mencapai status komersial.

Ia merupakan program pertama di bawah Program Pecutan MTDC dan berjaya menarik penyertaan 50 peserta daripada 17 kumpulan universiti tempatan serta dua buah syarikat swasta. 
– Bernama