Menurut terma perjanjian, PNB-Kwasa International 2 Limited, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) untuk melaksanakan perolehan bagi membeli tanah daripada BP2HCL.

BP2HCL terdiri daripada anak syarikat milik penuh Battersea Project Holding Company Limited (BPHCL).

PNB mempunyai 65 peratus kepentingan dalam SPV tersebut, manakala baki 35 peratus dipegang oleh KWSP.

BPHCL pula dimiliki oleh konsortium pemegang saham iaitu SP Setia Bhd. sebanyak 40 peratus, Sime Darby Property Bhd. 40 peratus dan selebihnya KWSP berjumlah 20 peratus.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, perolehan itu membolehkan pihaknya menyatukan pemilikan strategik PNB dalam pembangunan ikonik BPS di pusat kota London.

“Ia dijangka dapat menghasilkan aliran pendapatan yang mampan dan potensi peningkatan modal pada masa hadapan.

“Pelaburan yang dicadangkan juga telah distrukturkan dengan teliti untuk memastikan transaksi yang dicadangkan memenuhi kriteria pelaburan PNB yang ketat,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan PNB dan KWSP secara bersama di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, pihaknya yakin de­ngan potensi Hartanah Komersial Fasa 2 untuk menghasilkan pendapatan sewaan yang mampan dan berjangka panjang untuk KWSP.

“Kami juga menjangkakan pembangunan ini akan mendapat manfaat daripada London Underground Northern Line yang dipanjangkan, memberikan akses lebih baik untuk menghidupkan kawasan ini menjadi pusat perniagaan dan gaya hidup yang hebat,” katanya.

Hartanah Komersial Fasa 2 adalah sebahagian daripada pemulihan bangunan Stesen Janakuasa ikonik itu.

Ia dijangka siap menjelang penghujung 2020 sebelum dibuka kepada orang ramai pada tahun 2021.

Kawasan komersial yang diperoleh antara lain terdiri daripada 50,168 meter persegi pejabat Gred A khas, 39,019 meter persegi kawasan runcit, makanan, minuman dan rekreasi.