PMB Investment merupakan anak syarikat milik penuh Kumpulan Mara Bhd.

Kerjasama tersebut memboleh­kan perunding unit amanah PMB Investment menawarkan produk berkaitan Zurich Takaful kepada pelabur dan dalam masa ejen Zurich Takaful boleh menawarkan unit amanah PMB Investment kepada pelanggan mereka melalui jualan silang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Mara, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kerjasama strategik itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melalui jualan silang yang mana setiap perun­ding atau ejen boleh mempelbagaikan portfolio produk yang ditawarkan kepada pelabur dan pelanggan.

Katanya, ia juga akan memberi impak kepada syarikat serta industri kewangan syariah yang mana mampu mempercepatkan pertumbuhan permintaan produk berasaskan syariah.

“Buat masa ini, perunding kami memasarkan produk unit amanah PMB Investment serta pengurusan hibah, waris dan pusaka kepada para pelabur bagi mencapai matlamat untuk menyediakan pelbagai produk penyelesaian kewangan secara menyeluruh kepada masyarakat.

“Kerjasama ini akan membuka peluang yang lebih besar kepada kedua-dua belah pihak untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran dan pengalaman dalam bidang pelaburan serta perlindungan kewangan bagi memastikan setiap pelabur dapat merancang dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian kolaborasi strategik ber­kenaan di Bangsar di sini semalam.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed, mewakili Pelaburan Mara dan Zurich Takaful diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mukesh Dhawan sambil disaksikan Tengku Ahmad Badli Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Life Insurance Malaysia Bhd., Stephen Clark.

Sehingga 31 Julai, PMB Investment mempunyai 1,000 perun­ding unit amanah dan dijangka meningkat sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, mengulas mengenai kerjasama tersebut, Mukesh menjelaskan, terdapat pelbagai peluang dalam industri takaful untuk pembentukan kerjasama strategik baharu dan bermakna untuk menjana pertumbuhan industri.

“Melalui kekuatan PMB Investment dengan rangkaian produk terkemukanya dan kepakaran kami dalam menyediakan pelbagai produk takaful yang komprehensif pasti menambah nilai kepada pelanggan.

“Bersama PMB Investment, kami dapat meluaskan pengetahuan dan kesedaran terhadap kewangan Islam dengan lebih cepat dan membantu rakyat melindungi orang tersayang serta masa depan mereka,” 
katanya.