PMB Tijari merupakan anak syarikat Kumpulan Pelaburan Mara Bhd. (Pelaburan Mara) yang bertanggungjawab menawarkan perkhidmatan pembia­yaan kewangan patuh syariah dengan memberi tum­puan kepada sektor komersial.

Ketua Operasinya, Norati Ibrahim berkata, sasaran berkenaan bakal dipacu oleh perancangan strategik yang akan dilaksanakan syarikat termasuk rangsa­ngan tambahan modal menerusi platform terbitan sukuk dan kewangan Rakan Setara atau peer-to-peer (P2P).

“Kami melihat jumlah unjuran berkenaan adalah realistik dan yakin dapat berkembang dengan positif menerusi pelan dirancang selain ditambah dengan soko­ngan suntikan modal daripada Pelaburan Mara sendiri.

“Sehingga kini, kami sudah mencatat pembiayaan aset bernilai RM200 juta dan PMB Tijari berada pada landasan yang betul menuju pelan lima tahun berkenaan, ia juga sebagai akses bantuan khususnya kepada syarikat bumiputera,” katanya.

Beliau berkata kepada Kosmo! ketika ditemui di pejabat PMB, Jalan Rakyat di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Mara, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin serta wakil dari FHM Megaraya Sdn. Bhd., Pengarahnya, Ahmad Hizad Che Haron dan Ketua Projeknya, Mohd. Hasanul Fadly Che Haron.

Menurut Norati, PMB Tijari turut menyasarkan untuk mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM80 juta pada tahun hadapan yang akan memberi fokus kepada sektor teknologi sebagai sebuah cabang baharu selain pembinaan.

“Kami menjangkakan prospek lebih positif pada tahun 2019, meskipun hanya menyaksikan sasaran pembiayaan kewa­ngan yang rendah iaitu sebanyak RM30 juta tahun ini.

Menurut beliau, ia berdasarkan kepada faktor persekitaran ekonomi tidak menentu ekoran peralihan kerajaan baru-baru ini.

“Jumlah RM80 juta itu me­rangkumi bantuan kewangan kepada sehingga 40 buah syarikat bumiputera dan PMB Tijari juga akan berkolaborasi dengan syarikat Lapangan Terbang Kuala Lumpur selain Kementerian Pendidikan Malaysia bagi kontrak peralatan teknologi,” tambahnya.

Sejak tahun 2014, syarikat berkenaan telah meluluskan pembiayaan kewangan kira-kira RM200 juta melibatkan 100 buah syarikat setakat ini.