PMB Investment menjalankan perniagaan unit amanah dan mempunyai status Syarikat Pe­ngurus Dana Islamik.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pembukaan pusat itu membuka lembaran baharu buat PMB Investment untuk menyediakan peluang pelaburan syariah lebih luas kepada orang ramai.

“Kami mahu terus memberikan perkhidmatan cemerlang kepada pelabur khususnya di negeri ini,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian pusat jualan berkenaan di Kompleks Sultan Abdul Hamid di sini Jumaat lalu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed; Ketua Pegawai Jualan dan Operasi, Razali Pungut; Pengurus Pembangunan Agensi, Ahmad Shahril Md. Yusof dan Pengurus Pejabat Wilayah Utara, Faizal Tahir.

Menurut Tengku Ahmad, pihaknya akan membuka dua lagi pejabat jualan negeri iaitu di Kelantan dan Melaka yang akan beroperasi pada tahun ini.

PMB Investment Bhd. me­ngunjurkan jumlah pelaburan sehingga RM700 juta menjelang akhir tahun ini manakala jumlah aset di bawah pengurusan di­sasarkan sebanyak RM2 bilion.

Sementara itu, Najmi berkata, Kedah merupakan negeri yang mempunyai perunding unit amanah (PUA) yang paling ramai bagi wilayah utara iaitu seramai 99 orang daripada jumlah keseluruhan 175 orang.

“Jumlah itu kira-kira 11 peratus daripada keseluruhan PUA di seluruh negara.

“PMB Investment sentiasa menyediakan pelbagai insentif kepada mereka seperti subsidi untuk membuka pejabat selain menyediakan latihan asas jualan supaya mereka mampu bergelar usahawan kelak,” katanya.

Pada majlis sama, PMB Investment turut meraikan anak-anak yatim daripada Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Kedah cawangan Kota Darul Aman.