Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan perkhidmatan cemerlang  dan sasaran memperolehi 20,000 pelabur baharu dalam tempoh yang sama.

Katanya, PMB Investment mempunyai 15 dana unit amanah patuh syariah yang ditawarkan dan menjadi pilihan adalah PMB Shariah Aggresive Fund, PMB Shariah Premier Fund, PMB Shariah Dividend Fund dan PMB Shariah Small-Cap Fund.

"Pembukaan pejabat di Kelantan berharap dapat menarik lebih ramai pelabur-pelabur dan  pihaknya menyediakan peluang pelaburan syariah secara meluas kepada orang ramai sekali gus memberi peningkatan pelaburan yang disasarkan.

"Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur malah membuka peluang kerjaya kepada rakyat Kelantan sebagai perunding berdaftar dan berlesen dengan ganjaran menarik serta pelbagai insentif," katanya.

Beliau ditemui pada sidang akhbar selepas perasmian Pembukaan Pejabat Negeri Kelantan dan Majlis Sambutan Aidilfitri di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.

Turut hadir ialah Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Zulkarnain Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif PMD Investment, Najmi Mohamed.

Menurutnya, PMB Investment juga yakin jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) kini sebanyak RM1.2 bilion melibatkan lebih 90,000 pelabur dan pihaknya menyasarkan mencecah sehingga 5 billion menjelang tahun 2022.

Katanya, PMB Investment turut memperoleh pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records bagi kategori perniagaan dan berjaya memenangi Best Malaysia Large-Cap Equity (Shariah) serta dua Anugerah Dana Islam Global dari Lipper Funds Awards From Refinitiv 2019.

"Pihaknya sentiasa merangka pelbagai inisatif menarik seperti strategi pemasaran dan jualan bagi memastikan syarikat memberikan pelaburan terbaik untuk menjadi pilihan para pelabur," katanya.

Dalam majlis sama, PMB Investment turut meraikan 60 anak-anak yatim daripada Rumah Kebajikan Anak Yatim  Dhuafa' Siti Aminah dan Rumah Kebajikan Anak Yatim Darul Aitam. - K! ONLINE