Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Dr. Ir. Mohd. Abdul Karim Abdullah berkata, ia dilihat akan dapat mempertingkatkan produktiviti dan mengoptimumkan operasi pusingan dan pengurusan penyelengaraan kilang.

Menurut beliau, platform yang dibangunkan bersama Microsoft APAC Digital Advisory Services (Microsoft) itu akan mengga­lakkan keterhubungan antara pihak pengurusan, tenaga kerja di lapangan dan rakan niaga dengan meliputi aspek prape­rancangan, pengurusan kilang, sokongan operasi dan pemantauan.

“Langkah pelaksanaan Revolusi Industri 4.0 menerusi transformasi digital ini membolehkan langkah pemodenan tempat kerja menjadi lebih sistematik dan efisien menerusi analisis data dan penyelenggaraan yang dijangka.

“Ini seterusnya mampu me­ningkatkan produktiviti dan penjimatan kos, selain mengurangkan masa henti atau rosak mesin bagi manfaat operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pe­meteraian memorandum persefahaman antara Serba Dinamik dan Microsoft bagi pelaksanaan Revolusi 4.0 melalui transformasi digital di sini semalam.

Pemeteraian perjanjian tersebut disempurnakan oleh Mohd. Abdul Karim yang mewakili Serba Dinamik, sementara Microsoft diwakili Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman.

Sehubungan itu, Mohd. Abdul Karim berkata, mulai semalam sehingga akhir tahun ini, pihak­nya akan aktif melaksanakan usa­ha mendidik dan mewujudkan kesedaran pasaran mengenai platform digital yang dibangunkan itu.

“Platform ini bukan sekadar menperkukuhkan operasi tetapi juga boleh dimanfaatkan bagi tujuan latihan dan pendidikan.

Walaupun enggan mengulas lanjut mengenai pelaburan terlibat, beliau bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada keperluan teknologi pelanggan.