Izmir Abdul Hamid, 34, yang memulakan perniagaan tersebut dengan dua sahabatnya, Faisal Hamzah, 34, dan Muhamad Alfie, 38, mahu menampilkan pizza tempatan yang berkualiti serta setan­ding jenama terkemuka pada harga berpatutan.

“Kami sedang berbincang dengan Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) untuk memboleh­kan jenama ini difrancaiskan. Kami yakin de­ngan potensi­nya selain mahu memberi peluang kepada usa­hawan lain,” katanya di sini baru-baru ini.

Pizza On Fire kini mempunyai empat cawangan iaitu di Damansara Perdana (Sela–ngor), Pantai Cenang (Langkawi), South Key (Johor Bharu) dan terbaharu di Kota Damansara (Selangor), yang baru dibuka bulan ini.

Menurut Izmir, usahawan francais boleh memilih dua model perniagaan iaitu konsep medan selera dengan modal RM60,000 atau kedai pada RM120,000.

“Kami berharap dapat merealisasikan impian francais ini menjelang suku kedua tahun hadapan. Buat masa ini, pembukaan semua cawangan sedia ada menggunakan mo­dal kami sendiri,” katanya.

Izmir turut menyasarkan untuk membuka 10 cawangan baharu tahun depan.

“Kami sentiasa terbuka de–n­gan idea perkongsian dengan mana-mana pihak yang berminat,” katanya.

Sebelum ini, perniagaan Pizza On Fire yang bermula pada November 2017 menyaksikan penyertaan seorang lagi rakan kongsi iaitu penyanyi terkenal, Syed Ahmad Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Altimet.

“Dengan kehadiran Altimet, jenama ini semakin dikenali disokong pelbagai promosi di media sosial selain promosi mulut ke mulut oleh pelanggan setia kami.

“Kami mengharapkan kehadiran Pizza On Fire akan memeriahkan lagi pasaran tempatan selain memberi pilihan kepada orang ramai untuk merasai pizza tempatan yang mempunyai resepinya tersendiri,” katanya.

Pizza On Fire menawarkan saiz pizza 30.48 sentime­ter pada harga antara RM20 dan RM25. – Bernama