PayNet merupakan rangkaian pembayaran infrastruktur berpusat bagi pasaran kewangan di Malaysia dengan Bank Negara Malaysia merupakan pemegang saham terbesar nya,

Terdapat 11 institusi kewangan utama negara yang lain turut menjadi pemegang saham bersama syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Peter Schiesser berkata, DuitNow membolehkan pe­langgan bank menerima wang tanpa mendedahkan nombor akaun mereka.

“Pelanggan yang ingin menerima pembayaran dengan menggunakan nombor telefon bimbit mereka hanya perlu me­lakukan pendaftaran satu kali untuk mengaitkan nombor telefon bimbit ke nombor akaun mereka.

“Selain nombor telefon bimbit, pelanggan bank juga boleh memilih kaedah lain untuk mengenal pasti lain termasuk nombor kad pengenalan MyKad atau MyPR, tentera atau polis, pasport serta pendaftaran perniagaan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media berhubung DuitNow di sini semalam.

Schiesser menjelaskan, pelanggan boleh melakukan pembayaran dengan mengakses DuitNow di bawah menu pemindahan dana pada saluran perbankan internet dan perbankan mudah alih masing-masing.

“Pembayaran sehingga RM5,000 adalah percuma untuk semua pengguna serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” jelasnya.

Beliau memaklumkan, sejak 8 Oktober lalu, sembilan buah institusi kewangan tempatan telah mengambil inisiatif menghubungi pelanggan mereka sebagai langkah pra­pendaftaran DuitNow.

Bank yang mengambil bahagian setakat ini ialah AmBank, CIMB Bank, Ci­tibank, Hong Leong Bank, HSBC Bank, OCBC Bank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank.

“Kami menjangka bilangan institusi kewangan yang menawarkan platform pembayaran baharu ini akan bertambah, namun ia turut bergantung kepada ketersediaan bank tersebut terlebih dahulu,” ujarnya.

Schiesser menegaskan sebagai langkah tambahan, bank-bank terlibat akan melindungi ke­rahsiaan data pengguna dalam DuitNow, mematuhi Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Aktar Perlindungan Peribadi 2010.

“Pelancaran DuitNow merupakan satu lonjakan besar dan nilai tambah dalam pasaran pembayaran elektronik, menjadikannya saluran yang pantar, lancar dan mudah untuk memenuhi permintaan semasa, selain memperluaskan lagi akses kemudahan di seluruh negara,” katanya.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 22 juta pe­langgan bank di Malaysia, yang mana di antara 10 juta hingga 15 juta daripadanya merupakan pelanggan aktif perbankan internet dan perbankan mudah alih.