Pengurus Negara Philips Malaysia, Muhammad Ali Jaleel berkata, cawangan baharu itu merupakan premis yang pertama di negeri tersebut dan di utara Semenanjung Malaysia.

“Dengan adanya cawangan baharu ini, pembeli di Pulau Pinang akan dapat menikmati pengalaman membeli-belah yang mengasyikkan dan semakin dekat dengan pelbagai produk elektronik Philips yang inovatif.

“Cawangan pusat sehenti itu menawarkan pengalaman membeli-belah yang memuaskan kepada pelanggan kerana mereka bukan sahaja dapat melihat pelbagai produk, malah boleh mencubanya.

“Sekiranya para pelanggan mempunyai sebarang pertanyaan, kakitangan kedai yang berpengetahuan akan sentiasa bersedia membantu mereka membuat pilihan yang bijak,” katanya dalam satu kenyataan sempena perasmian cawangan itu di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif My Future World Malaysia, G. Singh dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan ne­geri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Ketika ini, terdapat tiga cawa­ngan Philips Brand Stores di Kuala Lumpur iaitu di Publika Shopping Gallery, Garden Mall Mid Valley dan Wangsa Walk Mall serta satu di Sutera Mall, Johor Bahru.

Tambah Muhammad Ali, pelancaran kedai itu merupakan satu lagi kejayaan kepada Philips Malaysia dalam melaksanakan strategi­ pengembangan perniagaan iaitu untuk membuka cawangan di semua bandar utama di negara ini.

“Kami memilih untuk mem­buka cawangan terbaharu di Pulau ­Pilang kerana negeri ini mempu­nyai potensi tinggi memandangkan ia merupakan salah satu pusat bandar terbesar di negara, selain Lembah Klang,” ujarnya.