Petron dalam satu kenyataan berkata, pendapatannya bagi tempoh tersebut meningkat kepada RM3.3 bilion berbanding RM2.56 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan angka tersebut disumbangkan oleh jumlah jualan yang meningkat kepada lebih 100,000 tong kepada 9.1 juta tong.

Selain itu, ia turut disumbangkan oleh peningkatan harga minyak mentah Dated Brent yang dicatatkan pada kadar purata AS$75 (RM314) setong berbanding AS$52 (RM217) setong.

“Walaupun keuntungan kasar kekal kukuh pada RM186 juta suku ketiga tahun ini, ia lebih rendah berbanding RM218 juta yang tercatat dalam tempoh sama tahun lalu.

“Pengecutan dalam perbezaan harga menyebabkan pendapatan bersih lebih rendah sebanyak RM85 juta berbanding RM106 juta pada 2017,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Petron, Ramon S. Ang berkata, pihaknya yakin dapat mencatatkan prestasi kewangan yang baik menjelang penghujung tahun ini.

“Kami berada pada landasan untuk mencapai sasaran program strategik yang bertujuan menjangkau lebih banyak pelanggan dengan menawarkan pengalaman yang terbaik.

“Kami meneruskan pengembangan runcit dan logistik dan pada masa sama meningkatkan kecekapan di seluruh rangkaian bekalan kami,” katanya. – K! ONLINE