Pengarah Urusan Iana Corporation Sdn. Bhd., Mohammad Hafidz Rohani berkata, jualan secara online me­nyumbang kira-kira 11 peratus daripada keseluruhan hasil jualan Kek Lapis Sarawak Siti Payung yang diusahakan bersama isterinya.

Jelasnya, baki jualan adalah menerusi kedai fizikal dan pengedar.

“Selain memiliki kedai fizikal di Miri dan wakil jualan di beberapa lokasi di seluruh negara, saya melihat potensi yang mampu dijana menerusi laman sosial.

“Kami memiliki laman sesawang khas iaitu https://sitipayung.com.my yang sudah beroperasi sejak dua tahun lalu dengan kemudahan e-dagang yang membolehkan pelanggan membayar terus secara online dan ia nyata memudahkan,” katanya kepada Bernama.

Selain laman web khusus untuk kemudahan pelanggan membuat tempahan, Mohammad Hafidz turut memasarkan produk dihasilkan menerusi beberapa laman sosial seperti Instagram, Youtube, Facebook, laman blogspot serta platform jualan secara online seperti Lazada dan Shopee.

Katanya, Iana Corporation yang beroperasi sejak tahun 2010 telah membelanjakan belasan ribu ringgit setiap tahun untuk mempromosikan perusahaan kek lapis termasuk menerusi pengiklanan di laman sosial.

“Setiap medium jualan memiliki kekuatan tersendiri.

“Bagi jualan di Lazada atau Shopee misalnya, faktor yang paling utama ialah dari segi penjenamaan sebelum kita dapat mengejar pasaran.

“Lebih menarik apabila tiba musim perayaan, carian kek lapis di Lazada dan Shopee akan meningkat dan platform tersebut pula yang akan membuat pemasaran untuk kita,” katanya.

Mohammad Hafidz berkata, kunci utama bagi usahawan perlu tumpuan kepada kesedaran jenama dalam memasarkan produk yang dihasilkan.

“Potensi jualan secara online tidak terhad kepada kek lapis sahaja, laman web Siti Payung kini turut memasarkan pelbagai produk keluaran usahawan Sarawak lain seperti garam bario, gel gambir, mi kolok segera, sambal cili geronong, sambal ikan tahai dan snek peria garing,” katanya.