Pengarah Urusannya, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, sebahagian besar daripada prestasi itu bakal dipacu oleh faktor pengecualian cukai terhadap barang kemas apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa 1 September ini.

“Sejak kadar sifar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) dimulakan pada 1 Jun, kami melihat terdapat pertumbuhan sebanyak 30 peratus berban­ding kira-kira lima peratus sebelum itu.

“Ini kerana semasa tempoh pelaksanaan GST, barangan kemas kecuali jongkong emas, dikenakan cukai standard enam peratus.

“Dengan kadar sifar, lebih ramai pengguna mengambil kesempatan yang ada untuk membeli dan kami menjangkakan momentum pembelian itu akan berterusan selepas SST dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran Jualan Bazar Merdeka Habib di ibu pejabatnya di sini semalam.

Meer Sadik menjelaskan, permintaan yang mengukuh juga dipe­ngaruhi daripada penyediaan saluran pembelian alternatif seperti platform internet dan saluran beli-belah di stesen-stesen televisyen yang menarik pelanggan celik teknologi, khususnya golongan muda.

“Rekaan menarik yang seiring dengan cita rasa pasaran, kepelbagaian jenama terkemuka di bawah Kumpulan se­perti Pandora dan Hearts on Fire berserta harga yang berpatutan juga menggalak­kan lagi jualan kami,” ujar beliau.

Mengenai Jualan Bazar Merdeka Habib, Meer Sadik memaklumkan, syarikat menawarkan diskaun sebanyak 70 peratus bagi produk berlian dan batu permata terpilih serta RM10 hingga RM25 setiap gram untuk barang kemas emas 916 dan 999.

“Bersempena Hari Kebangsaan, para pelanggan akan ditawarkan barang kemas eksklusif seperti loket emas 916 yang bertema Malaysia pada harga RM88, loket Jalur Gemilang emas (RM161), anting-anting mutiara (RM61) sepasang dan cincin lelaki bertatah batu moonstone (RM388 sebentuk).