Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim (gambar) berkata, inflasi keseluruhan turut menurun kepada 1.8 peratus berban­ding 3.5 peratus yang direkodkan pada suku keempat 2017.

“Ia menggambarkan kesan daripada harga bahan api domestik yang lebih kecil berikutan kenaikan harga minyak dunia yang lebih rendah berbanding suku tahun sebelumnya.

“Selain itu, kadar pertukaran ringgit juga lebih kukuh pada suku pertama 2018 iaitu pada kadar 3.92 berbanding dolar Amerika Syarikat, daripada 4.30 pada tahun 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pe­ngumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia bagi suku pertama 2018 di sini semalam.

Sementara itu, mengulas me­ngenai reaksi pasaran bagi situasi pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Muhammad berkata, ringgit berjaya mengekalkan momentum kestabilannya pada hari pertama sesi dagangan dan kembali kepada paras sama, di mana sebelum berlangsungnya PRU.

“Meskipun kadar ringgit sedikit merosot pada sesi pembukaan hari Isnin, ia bagaimanapun kembali stabil pada kadar yang hampir sama dengan hari penutupan pada Selasa minggu sebelumnya.

“Ini membuktikan bahawa sentimen pelabur kembali pulih dan mereka kekal yakin terhadap pasaran Malaysia meskipun masih terdapat risiko-risiko ketidaktentuan yang disebabkan oleh faktor global,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya me­ngenai prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2018, Muhammad menjelaskan, ia dijangka kekal menggalakkan dengan permintaan dalam ne­geri terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.

“Inflasi keseluruhan diunjur berada pada purata dua hingga tiga peratus bagi tahun 2018.

“Ia didorong oleh faktor kos global yang lebih kecil dan kadar pertukaran ringgit yang lebih kukuh berbanding 2017,” ujarnya.