Laporan Kajian Separuh Penggal RMK-11 yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi hari ini menyatakan antara isu tersebut adalah ketidaksamaan sosio-ekonomi merentas negeri, kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia dan kos sara hidup yang meningkat.

Namun, dari segi perspektif menyeluruh prestasi, pelbagai program berpaksikan rakyat yang dilaksana bagi tempoh itu memberi manfaat dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dari segi pendapatan lebih tinggi, peluang pekerjaan lebih baik, penjagaan kesihatan lebih berkualiti, perumahan mampu milik lebih banyak dan persekitaran hidup lebih selamat.

Laporan tersebut turut memperincikan prestasi enam teras strategik di bawah RMK-11 bagi tempoh dua tahun awal iaitu memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama, meningkatkan kesejahteraan rakyat, meningkatkan pembangunan modal insan untuk negara maju, menuju pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan serta daya tahan, memperkukuh infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran.

Di bawah teras pertama iaitu memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama, ia menyatakan bahawa ketidaksamarataan pendapatan secara keseluruhan terus berkurang berikutan peningkatan pendapatan bulanan isi rumah B40 dan kualiti hidup masyarakat luar bandar di pertingkat melalui penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan asas serta peluang ekonomi yang bertambah baik. - Bernama