Rakuten Trade merupakan broker saham digital sepenuh­nya yang pertama di Malaysia.

Syarikat yang ditubuhkan sejak Mei 2017 lalu itu merupakan usaha sama antara Kenanga Investment Bank Bhd. dengan Rakuten Securities Inc. dari Jepun.

Pengarah Urusan Rakuten Trade, Kaoru Arai berkata, sehingga kini, syarikat mempu­nyai lebih 20,000 pelanggan atau pemegang akaun iaitu peningkatan kadar berbanding 12,000 pemegang akaun dalam tempoh setahun ia beroperasi.

“Daripada keseluruhan jumlah tersebut, 79 peratus me­rangkumi pelanggan berusia di bawah 40 tahun dan 45 peratus bagi kumpulan yang tidak mempunyai pengalaman perdaga­ngan sebelum ini.

“Kebanyakan mereka merupakan pedagang aktif justeru itu, jumlah berkenaan menunjukkan pelabur yang lebih celik digital di Malaysia bersedia mencuba pe­ngalaman perdagangan baharu,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Menara Kenanga, Jalan Tun Razak di sini semalam.

Rakuten Trade akan meng­giatkan lagi inisiatif untuk mengembangkan pengetahuan para pelabur menerusi pelbagai penganjuran seminar, persida­ngan FinTech dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Selain itu. Arai menjelaskan, syarikat menjangkakan peningkatan pemegang akaun yang lebih signifikan pada masa hadapan menerusi tawaran produk pendahuluan tunai dan perdagangan kontra dengan sokongan platform aplikasi mesra pengguna, iSPEED.my.