Malaysia Autoshow 2019 dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) telah berlangsung selama empat hari bermula 11 April lalu di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, pencapaian ini menunjukkan syarikat telah mengumpul lebih daripada 110 tempahan setiap hari secara purata.

“Ini merupakan pencapai­an tertinggi sejak kami mula menyer­tai Malaysia Autoshow pada tahun 2017.

“Walaupun Myvi menerima tempahan yang pa­ling banyak, Bezza telah menarik perhatian orang ramai kerana adanya Pe­rodua Bezza Limited Edition.

“Ia hanya menawarkan 50 unit kereta ditawarkan kepada pelanggan dan promosi tersebut telah menjadikan Bezza antara sedan yang terlaris di Malaysia.

“Lebih menarik, 50 unit edisi terhad Autoshow ini telah ditempah sepenuhnya dalam masa tiga hari.

“Buat masa sekarang, kami tidak bercadang memperkenalkannya di pasaran kerana kami inginkan 50 unit ini khas untuk acara tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Ditawarkan pada harga RM44,890, Perodua Bezza Li­mited Edition tampil dengan warna luaran Ivory White, kit badan GearUp kemasan hitam matte yang dikelilingi jejalur merah serta spoiler belakang berwarna hitam matte.

Model tersebut juga didatangkan dengan bumbung berwarna hitam, rim aloi berwarna kelabu gelap, cermin sisi berwarna merah dan pelekat bercorak geo­metrik pada bonet serta pada bahagian sisi.

Bahagian dalaman Perodua Bezza Limited Edition lebih bergaya dengan penambahan sarung tempat duduk GearUp dengan kemasan jahitan merah, corong udara berwarna merah serta karpet koil GearUp.

Perodua Bezza menjadi popular di Malaysia sejak dilancarkan pada 2016, dengan lebih daripada 150,360 unit dijual sehingga kini.

Ia merupakan sedan pertama Perodua dan direka sepenuhnya oleh syarikat tersebut.

Perodua juga memperkenalkan aksesori GearUp baharu untuk SUV terbaharu, Aruz, yang turut diterima baik oleh pengunjung.