Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, Myvi serba baharu merupakan mo­del pertama keluaran Perodua yang mempunyai bahagian badan atas yang direka sepenuhnya sendiri dengan soko­ngan jenama rakan teknologi­nya, Daihatsu.

“Sinonim dengan rakyat Malaysia, Myvi merupakan sebuah produk kebanggan kami dengan prestasi jualan memberangsangkan iaitu pengeluaran lebih satu juta unit dalam tempoh 12 tahun.

“Dengan pengenalan model serba baharu ini, kami menyasarkan untuk menjual secara purata sebanyak 6,000 unit sebulan, bagi tempoh tiga bulan pertama ia diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pengumuman khas Pe­rodua bagi pengenalan model terbaharu tersebut di sini semalam.

Majlis pelancaran rasmi model tersebut bagaimanapun masih belum ditentukan tetapi tempahan telah mula dibuka bermula hari ini.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa syarikat akan memberi tumpuan kepada pasaran domestik selepas model ber­kenaan dilancarkan di pasaran.

“Meskipun model ini direka dengan memenuhi standard global, namun kami akan memasarkannya untuk pasaran Malaysia, dan berkemungkinan untuk mula mengeksport apabila sudah bersedia kelak.

“Dengan persekitaran pasaran yang amat mencabar, kami yakin secara berhati-hati untuk mencatatkan angka jualan yang lebih baik, sekali gus mencapai sasaran jualan asal Pe­rodua iaitu sebanyak 202,000 unit sehingga penghujung tahun ini,” ujarnya.