Buat masa ini, syarikat telah menempatkan empat buah ka­ravan makanannya iaitu di Solaris, Jalan Changkat, Sri Petaling dan juga terbaharu di hadapan stesyen MRT Taman Mutiara Cheras di sini.

Menurut pengarahnya, Akbar Yasin, syarikat telah melabur kira-kira RM300,000 hingga RM350,000 untuk pembukaan sebuah karavan makanan yang fungsinya berbeza daripada trak makanan (food truck).

“Ini kerana karavan makanan tersebut tidak bergerak dari satu tempat yang lain, ia hanya kekal beroperasi dalam kedai berbentuk karavan yang sangat unik di sesebuah lokasi.

“Cara penyediaan makanan dan minuman juga mengikut operasi untuk penjagaan tahap kesihatan terbaik kerana semua makanan tidak dimasak di dalam kenderaan tersebut tetapi ia dibekalkan oleh dapur sehenti milik syarikat yang terletak di Puchong, Selangor.

“Ini bertujuan untuk mengelak makanan daripada tercemar malah cara penyediaannya juga mengikut prosedur stan­dard operasi syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung projek perkembangan karavan makanan sempena pembukaan cawangan terbaharunya di MRT Taman Mutiara Cheras di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Ieman Shah.

Akbar menjelaskan, konsep syarikat adalah untuk mendidik masyarakat terhadap pengambilan makanan sihat khususnya ketika membeli makanan jalanan.

“Kami mahu pelanggan menikmati makanan sihat bertaraf lima bintang tetapi dijual pada harga mampu makan,” jelasnya.

Tambah beliau, karavan makanan menawarkan lebih daripada 18 menu kombinasi daripada resipi makanan kegemaran rakyat Malaysia seperti nasi lemak, makanan dari Asia Barat serta makanan Barat seperti burger, pasta, hot dog, chicken tender, chicken wing dan nachos chips.