Pengarah Hubungan Kerajaannya, Raja Sa’adi Raja Amrin berkata, pada masa ini, syarikat penerbangan hibrid itu menyediakan perkhidmatan penerba­ngan ke Melbourne, Brisbane dan Perth, Australia serta beberapa destinasi di China termasuk Guangzhou, Chengdu, Kunming dan Zhengzhou.

“Kami melihat terdapat banyak permintaan terutamanya bagi tujuan pelancongan untuk ke Australia.

“Selain itu, kami juga akan memperluaskan jaringan ke lebih banyak lokasi berpotensi di China yang dilihat mempunyai permintaan meningkat dalam kalangan penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! dalam satu temu bual bersempena penerbangan sulung Malindo Air dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor ke Lapangan Terbang Antarabangsa Silangit, Siborong Borong di sini baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan untuk menambah bilangan pesawat Malindo Air, Raja Sa’adi berkata, syarikat itu bakal membawa masuk dua lagi pesawat baharu sehingga hujung tahun ini yang terdiri daripada jenis Boeing 737.

“Pada tahun 2019, kami menjangkakan untuk menambah enam buah pesawat Boeing 737 Max.

“Dengan keupayaannya yang boleh terbang sehingga sembilan jam, penambahan pesawat model besar itu adalah bertepatan dengan perancangan kami untuk memperluaskan jaringan laluan ke destinasi-destinasi yang lebih jauh pada masa akan datang seperti Jeddah,” jelasnya.

Pada masa ini, Malindo Air mempunyai sebanyak 23 unit pesawat Boeing 737-800, enam unit Boeing 737-900ER dan 13 unit ATR 72-600.

Dalam pada itu, mengenai laluan terbaharu Malindo Air ke Siborong Borong beliau memaklumkan bahawa ia merupakan sebahagian daripada langkah untuk memperluaskan rangkaian destinasi penerbangan ke Indonesia.

Jelasnya, usaha itu didorong oleh potensi pelancongan yang pesat meningkat dalam kala­ngan pelancong Malaysia.

Penerbangan empat kali seming­gu dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah itu menggunakan pesawat ATR 72-600 kerana ciri-ciri yang lebih ekonomi.

Malindo Air merupakan syarikat penerbangan pertama dari Malaysia yang menawarkan penerbangan ke Siborong Borong.