Pengurus Besar Jualan dan Pemasarannya, Wendy Lim berkata, ia merupakan sebuah pembangunan terdiri daripada 223 unit rumah teres, 364 unit kondominium dan 394 unit rumah pangsapuri di bawah program Rumah Selangorku.

“Projek terbaharu ini memberi peluang kepada golongan muda dan profesional berpendapatan sederhana mendapatkan kediaman berkualiti pada harga mampu milik serta berhampiran dengan bandar raya.

“Ia merangkumi tiga fasa pembangunan dengan keseluruhan projek dijangka selesai menjelang tahun 2023,” katanya menerusi satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Menjelas lanjut, Lim berkata, Fasa 1 melibatkan pembinaan 106 rumah teres, yang mana setakat ini 50 peratus tempahan diluluskan sejak tempahan dibuka Jun lalu.

“Dijangka siap pada tahun 2021, fasa berkenaan menawarkan rumah teres dua tingkat jenis A dan B yang berkeluasan 173.26 meter persegi pada harga tawaran daripada RM475,000 seunit.

“Rumah teres jenis A menawarkan 50 unit rumah dilengkapi dengan empat bilik tidur dan tiga bilik mandi dengan halaman belakang rumah bertaman sebagai ciri-ciri eksklusif.

“Jenis B pula terdiri daripada 56 unit rumah yang menekankan unsur ruang dan privasi, sesuai bagi keluarga besar menerusi penyediaan empat bilik tidur dan empat bilik mandi,” katanya.

Beliau memaklumkan, Fasa 2 merupakan kawasan pembangunan yang ditambah baik dari segi saiz binaan dan keluasan tanah, sekali gus menjadikannya sebagai pembinaan terbesar Myra Alam.

Katanya, Fasa 3 pula menawarkan rumah paling premium dengan unit rumah yang menghadap kawasan hijau, landskap indah serta taman.

“Harga dan butiran lanjut mengenai kedua-dua fasa akan diumumkan dalam masa beberapa bulan akan datang,” ujarnya.

Lim memaklumkan, selain lokasi, harga dan saiz yang menarik, Myra Alam turut menawarkan tema persekitaran yang berasaskan kehijauan dengan keutamaan terhadap ciri-ciri keselamatan penghuni.