Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, Bank Muamalat merupakan bank kedua di negara ini yang memperkenalkan perkhidmatan itu bagi memudahkan transaksi tanpa tunai.

"Pelanggan hanya memerlukan telefon bimbit untuk membuat pembayaran ataupun menderma di masjid-masjid atau institusi yang menggunakan aplikasi kod QR.

“Cara pembayaran ini lebih selamat, mudah dan dapat mengurangkan penggunaan dompet elektronik,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian cawangan Bank Muamalat Muar di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang juga Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin.

Mohd. Redza berkata, menerusi E-Derma, pelanggan bank boleh menderma serendah RM1 dan aplikasi itu disediakan secara percuma di masjid manakala perkhidmatan E-Purchased akan diperluaskan di institusi perniagaan lain yang memerlukannya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Operasi Bank Muamalat, Mohd. Yassin Yaacob berkata, pihaknya akan membuka empat lagi cawangannya sehingga hujung tahun ini.

“Sasaran kita adalah membuka cawangan di bandar-bandar utama dan kawasan yang ekonominya sedang membangun, selain menyasarkan lokasi yang mempunyai kepadatan penduduk serta penjawat awam dan institusi pengajian,” katanya. 
– Bernama