Menteri Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sasaran itu juga bakal dipacu oleh unjuran pertumbuhan ekonomi dunia sebanyak 3.9 peratus pada tahun ini oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selain ekonomi-ekonomi baharu muncul yang dilihat mencatatkan prestasi sihat.

“Pada tahun lepas, Malaysia telah memperlihatkan peningkatan dalam eksport, terutamanya pe­ngukuhan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang telah memacu angka perdagangan yang kukuh.

“Disebabkan itu, kami melihat agak sukar untuk kita mencapai pertumbuhan seperti tahun 2017, namun ia masih akan berkembang pada kadar sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pengumuman prestasi perdagangan Malaysia bagi tahun 2017 di sini semalam.

Bagi tahun 2017, Malaysia mencatatkan pertumbuhan perdagangan yang kukuh dengan lonjakan sebanyak 19.4 peratus kepada RM1.774 trilion berbanding RM1.486 trilion yang direkodkan tahun sebe­lumnya.

Sektor eksport merekodkan peningkatan 18.9 peratus kepada RM935.39 bilion, manakala import turut mencatatkan pengukuhan sebanyak 19.9 peratus kepada RM838.14 bilion.

Menurut Mustapa, prestasi itu dipacu oleh perdagangan yang lebih tinggi dengan negara-negara rakan dagangan utama Malaysia terutamanya ASEAN, yang berkembang 21 peratus, China (20.6 peratus), Kesatuan Eropah (17.5 peratus) dan Amerika Syarikat (16.3 peratus).

“Selain itu, kenaikan perdagangan yang ketara turut direkodkan dengan Korea, Turki, Emiriyah Arab Bersatu, New Zealand, Iran, Afrika Selatan, Mexico, Bangladesh, Iraq dan Brazil,” ujarnya.

Tambah Mustapa, kesemua sektor merekodkan kenaikan kukuh dengan pertumbuhan dua digit termasuk E&E, kecuali pada Disember yang didorong oleh permintaan global yang tinggi terhadap barangan elektronik pintar.

“Barangan E&E kekal sebagai eksport utama pada tahun 2017 dengan menyumbang sebanyak 36.7 peratus kepada jumlah eksport Malaysia,” jelasnya.