Pengarah Pemasarannya, Fauzi Zakaria berkata, perkhidmatan baharu yang dijenamakan sebagai ‘Trip Kita’, akan memberi peluang kepada pelanggan untuk mengembara bersama rakan atau ahli keluarga masing-masing ke destinasi pelancongan yang diimpikan selama ini.

Menurut beliau, idea untuk mewujudkan konsep tersebut timbul apabila mendapati keluhan orang ramai yang tidak dapat menyertai pakej pengembaraan yang telah dijadualkan ekoran faktor cuti dan kecergasan.

“Ada juga pertanyaan lain yang mana mereka mahu bercuti di luar negara tetapi enggan memikul beg kembara dan menaiki pengangkutan awam serta tidak mahu tergesa-gesa dalam menghabiskan program percutian mereka.

“Kumpulan pelancong ini sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkan keselesaan dan kemudahan daripada aspek kemudahan penginapan, pengangkutan dan juga tempoh masa yang agak panjang di beberapa tarikan menarik di negara yang mereka kunjungi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Fauzi menerangkan, berdasarkan pengalaman syarikat yang telah terlibat dalam bidang ini sejak tahun 2014, maka ia   telah memberi banyak kelebihan untuk menawarkan perkhidmatan yang berdaya saing.

Ia lengkap daripada aspek  penginapan yang selesa, kemudahan pengangkutan termasuk tempahan penerbangan, kereta sewa dan destinasi tarikan pelancongan yang menarik di Eropah.

Tambah beliau, sejak perkhidmatan dibuka kepada umum, syarikat telah menerima banyak permintaan dan tempahan daripada kumpulan pelanggan.
Antaranya destinasi yang menjadi pilihan ialah di Pulau Jeju,  Korea Selatan; Jelajah Keretapi  Trans Siberia di Rusia dan bermalam di Taman Negara Safari di Afrika Selatan. - K! ONLINE