Ketua Pegawai Eksekutifnya, V. Sasedharan berkata, sebahagian besar daripada peruntukan tersebut akan digunakan bagi memperkukuhkan segmen utama syarikat berkenaan iaitu operasi kontena.

Menurut beliau, ia termasuk peningkatan dermaga dan pembelian dua lagi kren gantri pangkalan sebagai tambahan kepada 13 unit sedia ada.

“Ini akan meningkatkan kapasiti pe­ngendalian kontena bagi memenuhi permintaan masa hadapan.

“Seiring dengan pelan perluasan itu, kami menyasarkan untuk meningkatkan keupayaan pengendalian Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di pelabuhan ini kepada 2.8 juta hingga 2.9 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada masa akan datang berbanding dua juta TEU pada ketika ini.

“Kerja-kerja berkaitan telah dimulakan dan dijangka mengambil masa kira-kira 18 hingga 20 bulan untuk disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena kunjungan media ke Pe­nang Port di sini yang dianjurkan syarikat induknya, MMC Corporation Bhd. (MMC Corp.) baru-baru ini.

Sasedharan menjelaskan, segmen perkhidmatan kontena merupakan penyumbang utama kepada Penang Port dengan sumbangan sebanyak 68 peratus kepada perolehan.

“Pada tahun lalu, kendalian kontena oleh Penang Port meningkat kepada 1.52 juta TEU atau naik kira-kira enam peratus berbanding 2016.

“Dipacu oleh pengukuhan volum kargo, kami percaya pelabuhan ini mampu mencapai pengendalian sebanyak 2.2 hingga 2.3 juta TEU dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau menambah, dengan Penang Port merekodkan pertumbuhan terbaik berbanding pelabuhan-pelabuhan lain di Malaysia dan berharap untuk meneruskan pencapaian tersebut, pihaknya dijangka mencatat pengendalian sebanyak 1.6 juta TEU atau pertumbuhan lima peratus pada tahun ini berbanding 2017.

Terletak di barat laut Semenanjung Malaysia, Penang Port merupakan pe­la­buhan yang tertua dan paling lama wujud di negara ini.

Ia juga merupakan gerbang utama bagi kapal-kapal di negeri utara di Malaysia dan wilayah selatan Thailand.

Berdasarkan kedudukannya yang str­tegik di sepanjang Selat Melaka, Pe­nang Port juga merupakan antara laluan kapal yang paling sibuk di dunia.

Ia turut mempunyai segenap kelengkapan dan kemudahan yang diperlukan bagi mengendalikan pelbagai jenis kargo termasuk kontena, cecair, barangan ke­ring secara pukal, pisah muatan dan sebagainya.

MMC Port Holdings Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat penuh MMC Corp., ketika ini memiliki pegangan sebanyak 49 peratus di dalam Penang Port dengan cadangan pembelian baki 51 peratus pegangan ekuiti daripada Seaport Terminal (Johore) Sdn. Bhd.

Cadangan yang melibatkan nilai seba­nyak RM220 juta itu akan membolehkan MMC Corp. mempunyai kawalan penuh terhadap Penang Port, sekali gus me­ngukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai penggiat utama industri pelabuhan di Malaysia.