Makluman kepada perniagaan terlibat akan dibuat melalui e-mel.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy (gambar) berkata, pihaknya telah mengenal pasti antara 70,000 dan 80,000 syarikat pembuatan yang akan disenaraikan di bawah SST 2.0.

Ia daripada 472,000 syarikat yang disenaraikan semasa sistem GST pada kadar enam peratus.

“Semasa pelaksanaan GST, selain pengilang, pemborong dan peruncit juga perlu mendaftar dengan sistem cukai tersebut.

“Bagaimanapun, dengan peralihan kepada sistem SST, hanya pengilang dan penyedia perkhidmatan yang mempunyai nilai ambang perolehan bernilai RM500,000 setahun akan dikenakan cukai itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada taklimat SST Reborn! Transition from GST to SST di sini semalam.

Program itu dianjurkan oleh Salihin Consulting Group Sdn. Bhd. dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia.

Subromaniam berkata, setakat ini, jabatan itu telah me­latih kira-kira 5,000 pengeluar dan akan lebih giat melaksanakan usaha itu sebelum cukai berkenaan berkuat kuasa pada 1 September ini.

Kementerian Kewangan semalam membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Subromanian menjelaskan, untuk memastikan peralihan lancar kepada sistem SST, jabatan itu perlu melaksanakan program bimbingan walaupun sebelum rang undang-undang itu diluluskan.

Beliau menambah, jabatan itu juga akan memuat naik cadangan 6,400 barang untuk Cukai Jualan pada minggu depan.

Mengenai penalti kepada mereka yang gagal membayar cukai katanya, langkah itu telah ditambah baik.

"Dahulu, jika disabit kesalahan, hukuman yang dikenakan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Namun kini, pihak yang pertama kali membuat kesalahan itu akan didenda antara 10 hingga 20 kali jumlah cukai atau sehingga lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – Bernama