Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, MK Land, K. Mohanachandran berkata, Projek Rumah Selangorku di Taman Bunga Raya dibangunkan bagi menyahut permintaan ramai untuk menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat.

“Kami ingin membantu rakyat negeri Selangor secara khususnya, untuk memiliki rumah mereka sendiri daripada menyewa, yang mana sewanya tertakluk kepada harga pasaran yang turun naik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Mohanachandran menjelaskan, subfasa 1A adalah antara empat subfasa dan kesemua unit fasa 1A telahpun dikenal pasti pemiliknya dan disebabkan permintaan yang amat memberangsangkan, pendaftaran untuk subfasa fasa 1C juga telah dibuka kini.

“Antara faktor utama pembeli memilih kawasan ini adalah kerana harga berpatutan, reka bentuk menarik, kos penjimatan binaan disalur semula ke Rumah Se­langorku untuk me­ningkatkan kualiti rumah, lokasi strategik dan fasiliti yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan MK Land, Zulkipli Sidin berkata, subfasa 1A terdiri daripada 109 unit rumah teres dua tingkat jenis D yang berharga RM250,000 seunit manakala subfasa 1C berjumlah 101 unit rumah teres jenis D juga.

“Subfasa 1A ini dijangka siap untuk diserahkan kunci pada Januari 2021 dan keseluruhan 1,385 unit projek Rumah Se­langorku ini akan mengambil masa selama lebih kurang tujuh tahun untuk siap sepenuhnya,” katanya.