RAM Rating Services Bhd. berkata, memandangkan terdapatnya kaedah pembayaran elektronik lain yang lebih meluas seperti kad kredit dan kad debit, pembayaran mudah alih di Malaysia mungkin tidak dapat mencapai tahap seperti di China.

Menurutnya, walaupun jum­lah pembayaran menerusi dompet mudah alih yang semakin meningkat dan berkemungkinan mengurangkan urus niaga melalui kad kredit bank, pendapatan yuran yang diperoleh daripada transaksi kad hanya menyumbang sebahagian kecil daripada pendapatan keseluruhan bank.

“Walaupun sekumpulan penyedia dompet mudah alih (peserta pembayaran mudah alih) mempeluas ke bidang seperti pinjaman, jumlah pinjaman adalah agak rendah, dengan peminjam lazimnya terdiri daripada peniaga kecil dan usahawan yang biasanya bukan pelanggan sasaran bank,” katanya dalam kenya­taan yang dikeluarkan di sini semalam.

RAM mengakui bahawa pembayaran mudah alih telah berkembang pesat di seluruh dunia dengan China menjadi hab global untuk pembayaran mudah alih manakala di negara lain, tahap penerimaannya berbeza-beza.

Agensi penarafan itu menjelaskan, walaupun pembayaran secara mudah alih masih dalam fasa baharu di Malaysia, persaingan pasaran agak sengit memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan lesen kepada 48 penerbit e-wang bukan bank.

Pelaksanaan oleh bank pusat itu untuk mempromosi pembayaran mudah alih, adalah konsisten dengan aspirasi membangunkan masyarakat tanpa tunai, seperti yang termaktub dalam Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2011-2020.

Bagi memupuk penggunaannya, BNM memperkenal Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Operasi (ICTF), dengan semua peserta pembayaran mudah alih yang telah mencapai saiz tertentu, perlu ber­operasi pada rangkaian pembayaran berkongsi yang dikenali sebagai Platform Pembayaran Runcit (RPP).

RPP akan memberi manfaat besar kepada pengguna dompet mudah alih memandang­kan mereka boleh memiliki dompet tunggal yang membayar pelbagai peserta pembayaran mudah alih yang ber­operasi melalui RPP.

RAM Ratings berkata, dengan bantuan BNM, peserta pembayaran mudah alih membuat kemajuan dalam mempromosi kaedah pembayaran ini kerana bilangan dan nilai transaksi pembayaran mudah alih bukan bank masing-masing meningkat kepada 31.1 juta dan RM1.3 bilion pada 2018 berbanding satu juta dan RM240.3 juta pada 2017.

“Walaupun industri baharu ini mempunyai 48 pemegang lesen, hanya segelintir menguasai bidang ini,” kata firma penarafan itu.

Antaranya, Touch 'n Go eWallet, yang dimiliki bersama oleh CIMB dan Ant Financial manakala Boost ialah dompet mudah alih yang diwujudkan oleh Axiata. – Bernama