Tawaran ini dibuka sepanjang Kempen Pemilikan Rumah yang bermula dari 1 Januari lalu sehingga 30 Jun depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, duti setem bagi surat perjanjian pinjaman turut dikecuali­kan bagi rumah berharga sehingga RM2.5 juta sepanjang tempoh tersebut.

“Inisiatif ini bertujuan untuk me­ngatasi masalah kediaman tidak terjual yang telah memberikan impak negatif kepada industri hartanah negara.

“Pengecualian duti setem ini hanya­lah untuk pembeli warga­negara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengumumkan penganjuran ekspo hartanah anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, N. Jayaselan dan Presiden Rehda, Datuk Soam Heng Choon.

Baru-baru ini, kerajaan turut me­lancarkan Dana Rumah Mampu Milik bernilai RM1 bilion.

Guan Eng menjelaskan, berdasarkan data daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, bilangan rumah tidak terjual sehingga suku ketiga tahun lalu berjumlah 30,115 unit iaitu peningkatan sebanyak 48 peratus berbanding tahun sebelum­nya, melibatkan nilai berjumlah RM19.5 bilion.

Rehda bakal menganjurkan ekspo hartanah yang diadakan di seluruh negara bermula di Pulau Pinang pada 7 hingga 10 Februari depan yang menawarkan kediaman de­ngan diskaun sekurang-kurangnya 10 pe­ratus kepada pengunjung.

Ekspo utama akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 1 hingga 3 Mac dengan sasaran seramai 50,000 pengunjung dan dijadual­kan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Jayaselan menjelaskan, pihak kementerian memberikan fleksibiliti kepada pemaju untuk memberikan promosi berbentuk barangan seperti kabinet atau bara­ngan elektrik untuk pembelian rumah tahun ini.

Jelasnya, sebelum ini pihak pe­maju tidak dibenarkan untuk menawarkan barangan sedemikian dalam sebarang iklan mahupun aktiviti promosi mereka.