Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, kejayaan syarikat menguruskan ladang solar yang bernilai RM84 juta dengan memiliki kapasiti pengeluaran lapan megawatt (MW) itu telah meningkatkan keyakinannya untuk meneroka peluang baharu pada masa depan.

Projek di Ayer Keroh itu merupakan ladang paling cekap di dunia yang mana ia mampu mengeluarkan 1 MW dalam setiap 0.61 hektar berbanding piawaian dunia 1MW dalam setiap 2.02 hektar.

“Dulu saya fikir, projek di Melaka sudah cukup besar buat syarikat tetapi bila ada tawaran untuk mengembangkan perniagaan ini, kami tanpa berle­ngah lagi terus merebut peluang dalam projek di Perak,” katanya pada sesi temubual bersama media di sini baru-baru ini.

Guntor menjelaskan, berdasarkan kepada keyakinannya yang tinggi, selain pengalaman yang ditimba dalam bidang ini sudah cukup matang, ia telah memberi kekuatan buat syarikat untuk bersaing dengan enam lagi syarikat utama lain dalam bidaan tersebut.

“Akhirnya, Gading Kencana merupakan satu-satunya syarikat bumiputera individu yang terpilih dalam senarai bidaan tersebut,” ujarnya.

Baru-baru ini, Gading Kencana, telah memeterai perjanjian dengan Affin Islamic Bank Bhd. untuk mendapatkan pembiayaan sebanyak RM130.34 juta.

Pembiayaan itu bertujuan untuk membiayai sebahagian projek LSSPV dengan kos keseluruhan berjumlah RM214 juta di Bidor, Perak dengan selebihnya ditanggung oleh ekuiti syarikat pemaju itu.

Projek tersebut yang dibina di kawasan seluas 39.66 hektar dijangka memulakan operasi pada akhir bulan Jun tahun ini de­ngan kapasiti pengeluaran 30MW.

Selain itu, Guntor menjelaskan, sokongan daripada agensi kerajaan seperti Teraju, CGC, SME Corp dan Mara turut membantu membolehkan syarikat tersenarai dalam bidaan ber­kenaan.

Namun begitu cabaran berkaitan akses kepada dana daripada institusi kewangan dan masa yang suntuk untuk menyi­apkan projek di Bidor telah memberi satu kekangan kepada syarikat pada peringkat awal untuk menyer­tai bidaan ber­kenaan.