Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif (gambar) berkata, ekuiti muncul sebagai penyumbang utama pendapatan dalam suku tahun kedua ini.
Menurut beliau, perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin tegang dan kenaikan kadar faedah AS telah menyumbang kepada aliran keluar modal daripada pasaran baharu muncul termasuk Malaysia, seterusnya menjadikan persekitaran perdagangan pasaran tempatan menjadi kurang memberangsangkan.
“Semasa pasaran maju seperti AS dan negara-negara dalam zon Eropah mencatatkan keuntungan dalam pasaran ekuiti mereka, pasaran baharu muncul termasuk Asia pula mencatatkan pulangan negatif.
“Memandangkan ASEAN adalah antara yang mencatatkan prestasi terburuk, Malaysia juga tidak terkecuali daripada kemerosotan pasaran tersebut.
“Bagaimanapun, langkah mempelbagaikan pasaran dan sektor telah membolehkan KWSP merekodkan pencapaian yang konsisten,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurut Mohamad Nasir, bagi suku kedua 2018, ekuiti, yang merangkumi 40.61 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP, menyumbang sebanyak RM7.98 bilion atau 64.44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
“Sebanyak 52.09 peratus aset pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap yang terus memberikan aliran pendapatan yang konsisten dan stabil, malah bagi suku kedua ini, instrumen berkenaan mencatatkan pendapatan RM4.09 bilion atau 33.07 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahunan.
“Sementara pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Bon Sama Taraf meningkat kepada RM2.40 bilion, manakala pinjaman dan bon menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM1.70 bilion,” katanya.
Beliau menambah, instrumen pasaran wang menyumbang sebanyak RM215.44 juta, sementara hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM91.73 juta.
Nilai aset pelaburan KWSP mencecah RM813.18 bilion atau kenaikan RM3.05 bilion berbanding 31 Disember 2017.