Pelantikan itu menjadikan Ida Suraya muncul sebagai pereka fesyen pertama tempatan dan negara ASEAN yang berjaya menduduki jawatan tertinggi berkenaan bagi IFWD terkenal dalam kalangan industri fesyen seluruh dunia.

Sebagai Ahli Lembaga Penasihat, wanita berusia 46 tahun itu akan menjadi juri untuk semua pertandingan dan anugerah selain bertanggungjawab merangka pembangunan perniagaan fesyen dunia merentasi Dubai hingga ke kota fesyen, Paris di Perancis.

Ida Suraya juga bertanggungjawab memilih pereka fesyen yang akan memasuki IFWD dan akan muncul dalam semua sidang akhbar seluruh dunia.

“Saya berasa terharu namun bangga dan gembira dengan pelantikan ini kerana dapat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia dalam industri fesyen antarabangsa,” katanya. 

Ida Suraya, anak kelahiran Alor Star, Kedah itu bukan berasal daripada keluarga yang berada sementara bapanya merupakan bekas pengusaha bengkel kereta manakala ibunya pula bekas jururawat.

Kehidupan Ida Suraya sewaktu kecil juga agak sukar kerana ibunya terpaksa mengambil alih tanggungjawab menanggung keluarga selepas bapanya lumpuh selama lapan tahun sebelum meninggal dunia ketika beliau berusia 11 tahun.

Pemegang jazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan elektrik, elektronik dan sistem di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mula berkecimpung dalam dunia fesyen pada tahun 2012 serta menubuhkan perniagaan baharu iaitu fesyen dengan mengasaskan jenama sendiri iaitu Bianco Mimosa.

Beliau kini merupakan Pengarah Urusan, Mutiara Gemilang Engineering Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat kejuruteraan tempatan yang turut beroperasi di luar negara. - K! ONLINE