Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Bazlan Osman berkata, pelan yang hanya menyediakan khidmat jalur lebar berkelajuan 30 megabait sesaat (Mbps) itu ditawarkan pada harga RM79 sebulan.

“Pelan unifi basic mula diperkenalkan di pasaran pada 15 Julai lalu hanya ditawarkan khusus kepada kumpulan berpendapatan rendah 40 peratus (B40) dengan pendapatan isi rumah di bawah RM4,500.

“Tetapi, ekoran permintaan pasaran yang ingin menikmati penawaran serupa, kami membukanya kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung keputusan kewangan separuh pertama TM yang berakhir 30 Jun 2018 di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi TM, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob dan Ketua Pegawai Kewangan TM, Nor Fadhilah Mohd. Ali.

Bazlan menjelaskan, pelan unifi basic menawarkan penurunan harga sebanyak 56 peratus berbanding perkhidmatan jalur lebar 30Mbps sedia ada yang mempunyai caj bulanan RM179 tetapi menyediakan perkhidmatan tiga serangkai iaitu jalur lebar, kandungan dan telefon.

Pelanggan pelan baharu boleh menambah nilai volum penggunaan apabila mence­cah had 60GB yang disediakan.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan kos tambahan bagi nilai tambah itu mahupun sasaran TM menerusi penawaran baharu berkenaan.

“Pelan baharu ini membolehkan TM menawarkan perkhid­matan khusus tanpa ‘frill’ ke segmen pasaran yang sebelum ini tidak diteroka kami,” ujar beliau.