Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, perkara tersebut didorong oleh pelbagai faktor berkaitan di peringkat domestik dan glo­bal yang menghasilkan persekitaran malap.

“Ia termasuk paras peratusan pendapatan tenaga buruh dan tenaga pekerja mahir yang rendah, berbeza dengan enam teras strategi yang diterapkan dalam Rancangan Malaysia kesebelas (RMK-11) dalam menangani semua keperluan rakyat.

“Sasaran 40 peratus pendapatan tenaga buruh dalam pendapatan negara kasar menjelang tahun 2020 juga dijangka sukar untuk dicapai melihatkan pencapaian sekitar 36 peratus yang dicatatkan ketika ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Zakariah berkata, dalam tempoh yang berbaki dua tahun setengah ini, negara perlu lebih realistik dan tidak boleh bergerak seperti biasa memandangkan Malaysia kini sudah berada di kemuncak 30 tahun perjalanan mencapai Wawasan 2020.

“Tambahan pula, kita kini ke arah Revolusi Industri 4.0 dan hasilnya perlu diterjemahkan secara nyata, khususnya berkaitan pekerja mahir dan pengeluaran nilai tambah yang tinggi dalam memastikan produktiviti meningkat dengan lebih pantas,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pe­ngurusan Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Yusof Saari berkata, sasaran yang ingin dicapai menjelang tahun 2020 adalah tidak lagi rea­listik.

“Antara sasaran utama ekonomi makro pada 2020 adalah Pendapatan Negara Kasar per kapita RM54,000; produktiviti buruh (RM92,300) dan peratusan pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 40 peratus.

“Untuk mencapai sasaran ber­kenaan, ekonomi negara diunjur berkembang di antara 5 hingga 6 peratus sepanjang tempoh RMK-11.

“Namun, ekonomi negara tumbuh pada kadar 4.2 peratus pada 2016 dan 5.9 peratus pada 2017,” katanya.

Bagi mencapai sasaran RMK-11, ekonomi pada tahun 2018 hingga 2020 perlu tumbuh melebihi 6 peratus setahun.

Oleh demikian, tambahnya, berdasarkan ekonomi dan kewangan semasa kerajaan serta persekitaran global, pertumbuhan melebihi 6 peratus untuk tahun ini sehingga 2020 dilihat mustahil.

“Memburukkan lagi apabila kekayaan ekonomi tidak dikongsi sama rata dalam kalangan rakyat,” ujarnya.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijadualkan membentangkan Kajian Separuh Penggal RMK-11 2016-2020: Keutamaan dan Penekanan Baharu di Parlimen pada pukul 4 petang hari ini.