Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, setakat ini, sebanyak RM520 juta telah dilaburkan dalam pelaburan ESG tempatan dan antarabangsa yang diuruskan oleh pengurus dana luarnya.

“KWAP masih belum menggunakan keseluruhan pelaburan yang diperuntukkan dan sasaran kami adalah untuk memperuntukkan kira-kira RM400 juta untuk setiap pengurus dana bagi pelaburan ESG antarabangsa.

“Bagi pelaburan ESG tempatan pula, sejumlah RM3.3 bilion telah dilaburkan, menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM3.8 bilion dila­burkan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena acara KWAP Inspire: Environmental Conference 2018 di sini semalam.
 KWAP telah memulakan pelaburan dalam ESG pada Disember 2014 dengan dana permulaan sebanyak RM1 bilion.

Wan Kamaruzaman memaklumkan, setakat ini enam pengurus dana diberi mandat untuk menguruskan portfolio ESG KWAP.

Dana persaraan kedua terbesar di Malaysia itu juga sebelum ini telah menyatakan komitmennya untuk menyokong dan mempromosikan pelaburan berlandaskan amalan ESG selain tidak melabur dalam syarikat-syarikat berkaitan tembakau, perjudian dan alkohol.

Ia juga menetapkan sasaran untuk meningkatkan portfolio ESG kepada 70 peratus pada masa akan datang berbanding kira-kira 60 peratus setakat Februari lepas.

Sementara itu, ditanya me­ngenai strategi KWAP dalam mendepani cabaran pasaran semasa, Wan Kamaruzaman berkata, pihaknya melihat masih terdapat peluang yang cerah untuk institusi tersebut mengukuhkan pelaburannya, terutamanya dalam pasaran ekuiti.

“Bagi kami, dalam setiap krisis pasaran akan tetap ada kaunter-kaunter dan peluang yang memberi manfaat tidak kiralah sama ada dalam berdepan dengan cabaran pasaran tempatan atau global,” ujarnya.