Pengarah Urusan Kumpulannya, Nur Fatin Ibrahim berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran tersebut kerana ia diperkenalkan hasil permintaan menggalakkan golongan pengembara dan penggemar aktiviti lasak.

“Produk ini dilancarkan bagi memenuhi permintaan persatuan pendaki, para pengembara, pelancong dan penggemar aktiviti lasak yang mahukan set makanan mudah dibawa dan dimasak sebagai bekalan mereka.

“Ia telah diperkenalkan pertama kali pada November lepas kepada peserta Cabaran Pendakian Gunung Bersama Brahim’s di Gunung Nuang, Selangor, dan maklum balas positif yang diterima menjadikan produk ini amat sesuai menembusi golongan sasaran kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran Pek Kembara Brahim’s di sini semalam.

Menurut Nur Fatin, Pek Kembara Brahim’s bakal menjadi rebutan kerana ia mudah disediakan melalui tiga cara berbeza menggunakan air panas, ketuhar gelombang mikro dan pek pemanas.

“Kami percaya kehadiran Pek Kembara Brahim’s memberi kemudahan dari aspek pengurusan logistik makanan kepada pelanggan serta mereka akan lebih yakin kerana ia dijamin halal,” ujarnya.

Pek Kembara Brahim’s ditawarkan dalam tiga set berbeza iaitu set daging, set ayam dan set ‘one meal’ dengan harga bermula daripada RM14 hingga RM33, yang menampilkan hidangan cita rasa tempatan.

Pek Kembara Brahim’s boleh didapati di 150 rangkaian pengedar di seluruh negara serta di kedai Brahim’s Shoppe, di sini bermula Januari depan.