Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor dalam satu kenyataan hari ini berkata, minyak sawit Malaysia menyumbang sebanyak 71 peratus atau 502,000 tan daripada jumlah komoditi itu yang diimport ke Jepun.

"Pihak dagangan dan industri Jepun secara khususnya menghargai usaha berani Malaysia untuk menjadikan Skim Pensijilan MSPO itu sebagai mandatori menjelang Januari 2020. Malah, ini lebih ketara apabila pihak (penganjur) Olimpik Tokyo 2020 turut mengiktiraf MSPO sebagai antara sistem pensijilan bagi pemerolehan Minyak Sawit Mapan Yang Diperakui," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas berakhirnya acara Dialog dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-Jepun anjuran MPOC, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia di Tokyo pada 9 Julai 2018.

Seminar itu memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan jalinan hubungan perniagaan sedia ada antara penggiat Jepun dan rakan mereka di Malaysia.

Pada masa sama, acara itu turut menjadi platform bagi membolehkan kalangan penggiat industri minyak sawit Malaysia meninjau peluang baharu menerusi inovasi dan teknologi Jepun yang berpotensi.

Menurut MPOC, pada tahun lepas, penggunaan minyak dan lelemak di Jepun meningkat sebanyak 2.0 peratus kepada 2.85 juta tan berbanding 2016, manakala import minyak dan lelemak meningkat secara stabil sebanyak 5.2 peratus pada 2016 kepada 1.02 juta tan.

"Aliran ini dijangka berterusan pada masa depan seiring dengan pertumbuhan permintaan tempatan selain kepelbagaian penggunaan produk berkaitan," katanya. - Bernama