Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif PDZ, Tan Chor How berkata, perjanjian tersebut adalah untuk menyediakan penyelesaian logistik maritim yang lengkap seperti kapal kontena, kargo pukal, kapal tunda dan baj, kapal sokongan minyak dan gas serta perkhidmatan berkaitan seperti konsultasi perkapalan dan pengurusan krew serta carter kapal.

“Fokus kami adalah untuk memperluaskan tapak perniagaan di rantau ini melalui jalinan kerjasama dengan peneraju industri maritim yang mempunyai reputasi baik.

“Kami mahu berkongsi visi untuk mengambil peluang terhadap peningkatan dagangan di ASEAN.

“Malah, PDZ telah menunggu sekian lama untuk menembusi pasaran perkapalan di Indonesia,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Menurut Chor How, undang-undang perkapalan Indonesia untuk polisi pelaburan asing dan kabotaj memerlukan jalinan usaha sama dengan pemain tempatan.

“Oleh itu, kerjasama dengan Kumpulan IBC dijangka memberi sumbangan positif kepada keuntungan kami melalui rejim cukai dan inisiatif kerajaan yang menggalakkan industri,” katanya.

Ujar beliau, industri pengangkutan laut Indonesia diunjurkan mencecah RM100 bilion menjelang tahun 2020 dengan volum kontena melebihi 50 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki).

Selain itu, Chor How berkata, pihaknya sedang berunding dengan Kumpulan IBC untuk melibatkan diri dalam perniagaan kapal kontena di Indonesia, di samping perjanjian pengangkutan pukal kering memandangkan negara berkenaan menawarkan potensi pertumbuhan yang cerah untuk pe­ngangkutan laut.

“Indonesia terletak di antara laluan laut paling sibuk di ASEAN, sehubungan itu, ia memainkan peranan yang semakin penting dalam pengangkutan maritim global,” tambah beliau.